Latihan ICT - Membuat Akaun WhatsApp Business
27 Oktober 2020 | Aktiviti TerkiniPusat Internet PPR Kg Muhibbah telah mengadakan satu sesi Latihan ICT - Membuat Akaun WhatsApp Business secara dalam talian. Latihan kali ini dijalankan di atas talian bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang mencatatkan kes baharu COVID-19 sehingga mencecah 4 angka seharian. Sebagai langkah pencegahan, Pusat Internet Komuniti yang berada di dalam kawasan zon kuning atau merah terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi membendung penularan wabak ini.
Latihan atas talian ini berlangsung menggunakan aplikasi Stream Yard Live Studio dan turut dikongsi siaran langsungnya menerusi platform Live di Facebook Page Pusat Internet PPR Kg Muhibbah. Latihan yang diadakan dapat mengisi masa terluang sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan dengan menambah ilmu pengetahuan tentang teknologi pengkomputeran dan aplikasi terkini disamping boleh digunakan untuk memudahkan urusan seharian khususnya para usahawan dalam kalangan penduduk setempat yang menjalankan perniagaan dalam talian.
Peserta yang mengikuti Latihan ICT - Membuat Akaun WhatsApp Business ini dikehendaki untuk mengisi borang Google Form dengan menekan pautan yang disediakan di ruangan komen sebagai pengesahan kehadiran. Peserta mempelajari cara memasang aplikasi WhatsApp Business, membina katalog bisnes dan memasukkan informasi di profil perniagaan serta ilmu tambahan iaitu teknik menghubungkan akaun WhatsApp dengan Facebook Page dan membuat pautan (WhatsApp link) tanpa perlu pelanggan menyimpan dahulu nombor telefon penjual untuk dihubungi.
Antara manfaat yang diperoleh daripada latihan ini adalah dapat meningkatkan kemahiran dalam memaksimumkan penggunaan ICT dan teknologi bagi memudahkan pengurusan perniagaan agar lebih sistematik dan teratur. Malahan, platform WhatsApp Business merupakan antara medium pemasaran dalam mengetengahkan produk jualan secara dalam talian tanpa perlu kerap menjawab pertanyaan pelanggan melalui penggunaan katalog bisnes yang wujud dalam aplikasi tersebut. Hal ini tanpa disedari dapat menarik perhatian prospek yang bakal menjadi pelanggan apabila mereka melihat maklumat profil perniagaan di bahagian info kenalan. Lantas, penggunaan aplikasi ini dapat memaksimumkan hasil jualan serta menjimatkan masa dalam berurusan dengan pelanggan kerana terdapatnya keterangan sedia ada mengenai maklumat produk atau perkhidmatan, gambar, harga, lokasi dan waktu operasi yang telah dipaparkan di bahagian alat perniagaan (Business Tools).
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: